Terlebih dahulu
marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah
subhanahu wataal kerana dengan limpah dan kurnianya dapatlah
kita bersama-sama mengecapi Kemerdekaan malaysia Ke-46 Tahun
Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
Kemerdekaan yang telah
dikecapi oleh negara kita selama 46 tahun bukanlah datang
secara percuma. Pengorbanan, semangat kental dan iltizam
mereka-mereka yang terdahulu untuk membebaskan tanah air
kita daripada belenggu penjajahan selama lebih 4 abad
menjadi pencetus dan pemangkin kepada kejayaan ini. Walaupun
kita mengakui bahawa kemerdekaan yang diperolehi adalah atas
titik tolak perundingan yang telah diketuai Tunku Abdul
Rahman, namun kita tidak seharusnya melupakan pengorbanan
pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah gugur dalam mencapai
aspirasi yang sama, dan juga perwira yang telah menggadai
nyawa demi mempertahankan negara selepas kemerdekaan.
Kepada seluruh warga Labuan,
saya berharap kita semua dapat turut serta dalam
program-program yang telah diatur oleh Urusetia sambutan
Bulan Kemerdekaan, dengan harapan akan menyemarakkan rase
kecintaan dan apresiasi kita kepada negara tercinta. Sama-samalah
kita mengibarkan Jalur gemilang sebagai memperingati Hari
Kemerdekaan Negara dan menyedarkan kita sebagai rakyat
Malaysia tentang hakikat sebenar kemerdekaan.
Selamat menyambut Hari
Kemerdekaan Malaysia yang Ke 46 pada 31 Ogos 2003
Y.B. Dato' Hj. Suhaili B.
Abdul Rahman
Ahli Parlimen Labuan Merangkap
Pengerusi Perbadanan Labuan dan
Pengerusi Majlis Tindakan Pelancongan Labuan |